Paulo Dybala. Foto Mundo Deportivo.

TURIN, ITALI – Ejen popular, Mino Raiola mendedahkan kegagalannya untuk cuba membawa masuk penyerang Juventus, Paulo Dybala ke Manchester United pada Ogos lalu.

Raiola sebelum ini merupakan ejen untuk beberapa bintang ternama seperti Romelu Lukaku, Paul Pogba, Zlatan Ibrahimovic, Henrikh Mkhitaryan dan Sergio Romero.

Tuttosport melaporkan Raiola cuba menjadi ejen Dybala pada musim panas lalu dalam usaha membawa pemain itu ke Old Trafford.

Pada masa sama, seorang lagi ejen pilihan Jose Mourinho, Jorge Mendes juga mahu menjadi wakil baharu kepada bintang Argentina tersebut bagi memastikan perpindahannya ke Real Madrid menjadi kenyataan.

Namun Dybala mengambil keputusan menggantikan bekas ejennya, Pierpaolo Triulzi dengan abangnya, Gustavo yang menetap di Barcelona.

Ogos lalu, Dybala menjadi spekulasi untuk berpindah ke Barcelona tetapi Juventus sudah menawarkan kontrak jangka panjang kepada pemain berusia 23 tahun itu.

“Kami bukan kelab yang menjual pemain dan Dybala merupakan pemain yang bernilai.

“Pada masa sama, Dybala juga sudah menyatakan komitmennya terhadap kelab,” kata Pengurus Besar Juventus, Beppe Marotta.

Bulan lalu, Manchester United dilaporkan bersedia menawarkan bidaan 155 juta pound sterling terhadap Dybala dan pemain itu menyedari minat kelab gergasi England itu terhadapnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast