Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata Malaysia telah meningkat daripada RM3,578 pada tahun 2014 kepada RM4,033 pada tahun 2016 iaitu pertumbuhan 6.0 peratus setahun pada nilai nominal.

Perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata di bandar telah peningkatan pada kadar 5.8 peratus setahun daripada RM3,921 kepada RM4,402.

Manakala di luar bandar juga meningkat pada kadar sebanyak 5.7 peratus setahun daripada RM2,431 kepada RM2,725 bagi tempoh 2014 hingga 2016.

Jabatan Perangkaan berkata, pada 2016 Putrajaya merekodkan perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata tertinggi (RM6,971), diikuti oleh Kuala Lumpur (RM6,214), Selangor (RM5,183), Melaka (RM4,374), Pulau Pinang (RM4,190), Johor (RM4,148) dan Labuan (RM4,069).

Negeri-negeri lain merekodkan perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata di bawah paras nasional (RM4,033).

Semua negeri mencatatkan peningkatan dalam perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata.

Dalam tempoh tersebut, lapan negeri telah merekodkan kadar pertumbuhan melebihi kadar pertumbuhan nasional iaitu 6.0 peratus.

Putrajaya mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi iaitu 10.7 peratus, diikuti oleh Terengganu (10.4%), Perlis (9.0%), Pulau Pinang (8.9%), Negeri Sembilan (8.4%), Perak (7.9%), W.P. Labuan (7.6%) dan Melaka (6.9%).

Katanya, pada 2016, perbelanjaan isi rumah Malaysia tertumpu kepada empat Kumpulan Utama iaitu Perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain; Makanan dan minuman bukan alkohol; Pengangkutan; dan Restoran & hotel (69.1%).

Perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (24.0%) adalah penyumbang tertinggi kepada keseluruhan perbelanjaan penggunaan, diikuti oleh Kumpulan Utama Makanan dan minuman bukan alkohol (18.0%); Pengangkutan (13.7%); dan Restoran & hotel (13.4%).

Komposisi restoran dan hotel meningkat sebanyak 0.7 peratus pada tahun 2016 berbanding 12.7 peratus pada tahun 2014.

Bagaimanapun, Kumpulan Utama Makanan & minuman bukan alkohol turun 0.9 peratus pada 2016 berbanding 18.9 peratus pada 2014. – MalaysiaGazette