Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaysia mendapat suntikan semangat tinggi apabila ditawarkan RM30,000 jika dapat menewaskan Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hong Kong, esok.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi persidangan video bersama jurulatih Nelo Vingada dan barisan pemain hari ini.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata,  aksi terbaik dituntut ke atas semua pemain bagi menutup segala kritikan yang dilemparkan kepada skuad kebangsaan apabila gagal melakar kemenangan dalam empat perlawanan terakhir sejak dibimbing jurulatih baharu dari Portugal itu, Jun lalu.

“Anda semua perlu lakukan yang terbaik kerana menang atau kalah itu perkara kedua. Paling penting mata manusia tak boleh menipu. Kalau seluruh rakyat Malaysia termasuk saya nampak pemain beri 110 peratus, kalah menang kita puas hati.

“Saya yakin anda boleh lakukan yang terbaik, kalau menang perlawanan ini, bonus RM30,000,” katanya.

Anak buah Vingada memerlukan kemenangan ke atas Hong Kong selepas seri 1-1 di Melaka pada 5 September lalu untuk menghidupkan peluang mereka dalam aksi kelayakan Kumpulan B.

Sebelum itu, Malaysia tewas 1-2 kepada Lubnan dalam aksi pembukaan di Larkin pada 13 Jun sekali gus menyaksikan mereka kini menduduki tangga tercorot dengan satu mata.

Tunku Ismail berkata, beliau mahu semua pemain hanya memberi fokus kepada permainan dan tidak menghiraukan kritikan pihak luar yang tiada kaitan dalam bola sepak.

“Ambil ini satu peluang untuk jawab kritikan, negara ini banyak orang suka kritik macam-macam, semua nak pertikai kemampuan pemain dalam pasukan kebangsaan.

“Saya tak kisah apa yang orang cakap kerana saya akan sentiasa menyokong pemain yang ada dalam pasukan kebangsaan,” katanya. – MalaysiaGazette