Hospital Kuala Lumpur

SHAH ALAM – Dua pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI), Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur yang melecur teruk dalam tragedi kebakaran awal pagi 15 September lalu, sudah hampir pulih.

Pakar Perunding Kanan dan Ketua Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Normala Basiron berkata, kedua-duanya dijangka keluar dari wad itu dalam tempoh terdekat.

“Yang masih ada (menerima rawatan) di wad HKL ada dua pelajar. Kecederaan mereka pun dah hampir pulih dan hanya satu hingga dua peratus luka terbakar saja lagi.

“Mungkin akan keluar wad dalam masa terdekat. minggu ini atau minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita pada sidang media dengan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya selepas majlis perasmian 4th HKL Burn Seminar 2017 di Hall 2, Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, 21 pelajar dan dua guru Darul Quran Ittifaqiyah terkorban dalam kebakaran kira-kira jam 5.15 pagi. Enam pelajar lain dan seorang awam turut cedera.

Dua pelajar lelaki berusia belasan tahun itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL dalam  keadaan tidak sedarkan diri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast