KUANTAN – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu yang melintas secara tiba-tiba di jalan Kuantan-Kemaman, berhampiran Masjid Kampung Chendor, Cherating di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 6.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Cherating menghala ke Kampung Geliga.
“Mangsa berusia 23 tahun menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, seekor lembu secara tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan mengakibatkan mangsa tidak sempat memberhentikan motosikal dan melanggar haiwan berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak ke atas jalan raya sebelum disyaki digilis oleh kenderaan lain yang belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ashari, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat kemalangan itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis menyeru kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau dalam masa sama menasihati para pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati terutama ketik memandu di laluan yang berisiko dilintasi haiwan ternakan. – MalaysiaGazette
















