Home Dunia Palang Merah hadkan kakitangan di Afghanistan

Palang Merah hadkan kakitangan di Afghanistan

Operasi Palang Merah di Afghanistan. foto Agensi

KABUL – Palang Merah Antarabangsa (ICRC) secara drastik akan mengurangkan kehadirannya di Afghanistan selepas tujuh kakitangannya terbunuh dalam serangan tahun ini.

Dua pejabat ICRC akan ditutup dan operasi pejabat ketiga akan dikurangkan.

Ketua negara ICRC berkata, keputusan yang menyakitkan itu bermakna penduduk di utara tidak lagi dapat mendapatkan bantuan yang mereka perlukan.

“ICRC tidak akan meninggalkan Afghanistan tetapi organisasi ini akan mengehadkan risiko-risiko yang dihadapi oleh kakitangan,” kata Ketua ICRC di Afghanistan, Monica Zanarelli.

Banyak organisasi kemanusiaan telah keluar dari negara itu sejak beberapa tahun lalu selepas Taliban dan militan melancarkan beberapa serangan.

Pada bulan Februari lalu, enam kakitangan ICRC ditembak mati oleh sekumpulan lelaki bersenjata di utara Jowzjan.

Dua lagi diculik tetapi dibebaskan kemudiannya.

Bulan lalu, ahli psikoterapi dibunuh oleh pesakitnya di Mazar-e Sharif.

Monica berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dalaman di peringkat tertinggi dibuat di ibu pejabat ICRC.

“Kami tidak ada pilihan kecuali mengurangkan kakitangan dan aktiviti khususnya di utara Afghanistan.

“Pendedahan kepada risiko menjadi cabaran terbesar dan membimbangkan. Kami tahu tidak ada risiko sifar di Afghanistan dan kami tidak mensasarkannya. Keselamatan kami berdasarkan penerimaan dan dialog,” katanya.

Pejabat ICRC di Maimana dan Kunduz akan ditutup sementara pusat pemulihan di Mazar-e Sharif akan tetap dibuka namun ada rancangan adalah untuk menyerahkannya kepada rakan kongsi tempatan.

ICRC telah beroperasi di Afghanistan selama 30 tahun. Operasi di negara ini adalah keempat terbesar di dunia, dengan kira-kira 1,800 kakitangan yang menawarkan bantuan perubatan, membantu orang kurang upaya dan melawat penghuni di penjara bagi membolehkan para banduan berhubung dengan keluarga mereka. – MalaysiaGazette