Antara barangan yang dirampas ketika operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram (Ops Bah) Wilayah Persekutuan Siri 38 FOKUS kepada penyalahgunaan dadah di PPR Desa Rejang, Persiaran Rejang, Taman Setapak Jaya, Kuala Lumpur. foto 21 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Setapak, Wangsa Maju dan Sentul kini dikategorikan sebagai kawasan ‘panas’ di ibu negara berikutan kerap berlaku aktiviti penyalahgunaan dadah hingga menarik ramai penagih dadah.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin berkata berdasarkan rekod ketiga-tiga kawasan segi tiga emas itu, ia terkenal dalam kalangan penagih apabila banyak urusan jual beli dadah berlangsung di kawasan berkenaan.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan sekadar berkata AADK dan pihak berkuasa akan terus membuat pemantauan secara berkala di ketiga-tiga kawasan itu bagi mengawal keadaan.

“AADK akan jalankan pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi mengurangkan kes penyalahgunaan dadah kerana kami percaya kaedah merawat adalah lebih baik,” katanya.

Terdahulu, AADK menahan 16 lelaki berumur antara 19 dan 58 tahun kerana disyaki penagih dadah dalam ‘Op Keramat’ selama dua hari yang berakhir hari ini di sekitar Keramat di sini.

“Kebanyakan mereka yang ditahan adalah OKP (orang kena pengawasan) dan kita sedang mengesan OKP lain yang masih menagih,” katanya.

Operasi khas itu membabitkan 25 anggota penguat kuasa AADK Wilayah Persekutuan dan daerah yang turut berkunjung ke kediaman OKP untuk meninjau perkembangan mereka.

Abdul Halim berkata pemeriksaan lanjut mendapati 12 daripada lelaki itu positif dadah antaranya ganja serta mengambil pil khayal seperti Methamphetamine dan opiate.

“Dadah jenis Meth dan opiate ini mudah didapati dan murah. AADK mengambil langkah menahan mereka bagi mengelakkan mereka terus terlibat dan menjadi penagih dadah,” katanya dan menambah ada kalangan ditahan itu bekerja sebagai penghantar surat dan pemandu.

— BERNAMA