Kementerian Pendidikan

KUALA LUMPUR – Peperiksaan bertulis Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun 2017 akan berlangsung pada 23, 25, 30, 31 Oktober dan 1 November 2017.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, seramai 9,534 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu pada tahun ini di 240 pusat peperiksaan yang akan dibuka di Malaysia dan Kemboja.

Katanya, seramai 1,071 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.

“Mengikut pecahan, di sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, seramai 2,365 atau 24.8 peratus calon akan menulis STAM kali ini.

“Seramai 4,951, atau 51.9 peratus, calon adalah mewakili Sekolah Menengah Agama Negeri dan 704 atau 7.4 peratus calon merupakan dari sekolah Menengah Agama Rakyat,” kata kenyataan itu.

Justeru, calon dari sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan ialah seramai 52 orang atau 0.5 peratus manakala calon persendirian ialah 1,370 orang atau 14.4 peratus dan calon luar negara dari Kemboja adalah seramai 92 orang (1.0 peratus).

Lembaga Peperiksaan dalam kenyataan sama turut mengingatkan semua calon agar merujuk kepada jadual waktu peperiksaan STAM 2017 untuk mendapat maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman web Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my.

Calon STAM juga diingatkan supaya membawa bersama kad pengenalan masing-masing ke Pusat Peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar. – MalaysiaGazette