KUALA LUMPUR- Menjelang pembentangan Bajet 2018 tidak lama lagi, penekanan kepada isu agenda sosial diharap mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan.
Hal itu ditekankan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin kerana menurutnya, isu itu kurang mendapat perhatian sejak beberapa tahun lalu dan berpendapat ia harus menjadi agenda utama dalam bajet akan datang.
“Agenda sosial adalah berkenaan isu-isu yang berkaitan dengan gejala sosial seperti memerangi gejala dadah, memerangi jenayah dikalangan remaja, kelakuan yang tidak sivil, perlumbaan haram. Ini semua akan beri kesan buruk kepada masa depan negara kita,” ujar Khairy dalam sidang media selepas merasmikan InvestSmart Fest 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Perkara lain yang diharap mendapat perhatian dalam Bajet 2018 adalah galakan generasi muda untuk membuat pelaburan demi masa depan belia menjelang tahun 2050.
“Sebab kalau pelaburan tidak dibuat, pada tahun 2050 apabila kita mempunyai aging society (penduduk berumur) yang tinggi. Kita tidak bersedia untuk menampung persaraan mereka,” tambah Khairy lagi.
Ujarnya perkara itu telah disentuh dalam pembentangan bajet terdahulu tetapi penekanan harus diberi untuk merancakkan pelaburan dalam kalangan generasi muda.
Khairy turut memberitahu, beliau sudah berjumpa dengan Najib sendiri bagi membincangkan keperluan bajet bagi sektor sukan.- MalaysiaGazette