KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Sabah tidak akan sekali-kali menyokong kerajaan negeri itu menerima Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) walaupun sistem itu diterima universiti luar.
Ketua Penerangannya, Ismail Kardi berkata, Sijil Persekolahan Malaysia lebih awal lagi diterima universiti luar termasuk institut pengajian tinggi terbaik dunia.
“Jadi, tidak perlu dibangga dengan UEC,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.
Beliau mengingatkan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Sabah (PCAS), Tan Sri T.C Goh agar jangan cuba bermain api dengan isu UEC.
Ujarnya, tidak ada sebab PCAS dan rakyat Sabah perlu menerima UEC yang tidak sealiran dan bertentang dengan Dasar Pendidikan Negara (DPN).
Kata beliau, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang mendapat sebahagian bantuan kerajaan telah mengeluarkan ramai pelajar berkelulusan SPM dan diterima masuk ke universiti awam dalam negara dan luar negara.
“SJKC adalah sekolah di bawah DPN, sedangkan UEC di luar dasar pendidikan negara dan ianya mengikut korikulum pendidikan negara Taiwan.
“Mengapa kita perlu terima UEC yang tidak sealiran dengan dasar negara dan menyerapkan korikulum pendidikan negara Taiwan pula? Di mana jati diri mereka sebagai rakyat Malaysia?
“Saya sebagai anak asal Sabah dari etnik Sungai mahu ingatkan Goh jangan teruskan desakan kepada kerajaan negeri untuk sekat Presiden kami (Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali) masuk ke Sabah lagi. Kami yang menjemputnya,” katanya.
Menurut Ismail, beliau dan seluruh kepimpinan serta ahli Perkasa Sabah berbesar hati ada pemimpin pribumi luar Sabah sanggup bersama-sama membantu kaum pribumi Sabah pertahankan hak anak asal Sabah.
“Kami anak asal Sabah yang bawa masuk Perkasa ke negeri ini. Anak asal Sabah atau pribumi Sabah perlukan pemimpin politik yang berani menyuara dan perjuangkan hak kami, tetapi lapan tahun kebelakangan ini pemimpin politik yang ada lebih mahu menjaga hati kaum lain.
“Sebab itu kami rasakan perlu ada Perkasa di Sabah,” tegas beliau.
Beliau berkata, Perkasa Sabah adalah acuan kaum pribumi negeri itu dan Dr. Ibrahim serta pimpinan pertubuhan itu di peringkat pusat membenarkan mereka aktifkan Perkasa Sabah mengikut keperluan anak asal Sabah.
“Pimpinan pusat tidak tentukan apa perlu kami buat. Kami pimpinan Perkasa Sabah bawa hala tuju perjuangan Perkasa Sabah dengan kehendak dan cara kami sendiri.
“Kami akan tumpukan kepentingan ekonomi, pendidikan dan kuasa politik pribumi. Kami akan bersuara isu ekonomi pribumi dengan tegas. Isu pendidikan pribumi jangan diambil mudah dan sambil lewa.
“Dan kami pribumi tidak mahu bukan pribumi menguasai politik Sabah. Kami majoriti dan kuasa politik Sabah perlu dikuasai oleh pribumi, dan hala tuju masa depan Sabah perlu ambil kira kepentingan pribumi terlebih dahulu,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
Comments are closed.