KUALA LUMPUR – Kehadiran Menteri Belia dan Sukan menyemarakkan lagi Hari Sukan Negara 2017 (HSN2017) peringkat Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang disambut di ibu pejabat syarikat utiliti negara itu di Bangsar hari ini.

“Terima kasih TNB kerana menyokong penganjuran Hari Sukan Negara tahun ini,” kata Khairy Jamaluddin.

Beliau juga sempat beraksi bermain futsal bersama salah satu pasukan yang menyertai pertandingan futsal di di Padang Kompleks Sukan TNB di sini.

Pertandingan futsal tersebut melibatkan 30 pasukan (28 lelaki  dan dua wanita).

Keseluruhannya, hampir 5,000 warga kerja TNB mengambil bahagian dalam 20 acara dianjurkan Kelab Kilat (kelab warga kerja TNB) di 18 lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia sempena HSN2017, kata Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd Amin.

Menurutnya, sambutan baik program itu selaras dengan hasrat pengurusan TNB yang giat membudayakan program kesihatan (total wellness di setiap negeri hasil kerjasama Kelab Kilat Kebangsaan TNB.

“Selain futsal, sukan lain yang dipertandingkan ialah bola sepak, badminton, bola jaring, pingpong, treasure hunt, berbasikal dan lain-lain lagi,” katanya yang juga Yang Dipertua Kelab Kilat Kuala Lumpur.

Sambutan Hari Sukan Negara telah diisytiharkan pada setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun.

Sambutan ini merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan sebagai langkah proaktif ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’. – MalaysiaGazette