Hilmi Yahaya

PULAU PINANG – Golongan remaja diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan permainan `mati seketika’ dengan menekan dada rakan seperti yang tular ketika ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, permainan itu sangat berbahaya dan boleh menyebabkan mangsa mengalami mati otak dan saluran pernafasan tertutup.

Menurut beliau, permainan itu lebih berbahaya kepada individu yang mempunyai sebarang kompilasi jantung dan boleh menyebabkan maut serta-merta.

“Bagi individu yang sihat sekali pun permainan menekan dada ini boleh mengundang maut kerana dalam tempoh lima mini bekalan oksigen terhenti dan menyebabkan otak mati,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kedua Persatuan Rakan Niaga Strategik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau mengulas kegilaan terbaharu remaja yang bergurau dengan melakukan aksi menekan dada rakan sebayanya yang berdiri dan bersandar di dinding sebelum rebah selepas beberapa saat.

Video permainan itu yang berdurasi kira-kira 25 saat tersebar luas menerusi media sosial dan mencetuskan perdebatan ramai.

Sementara itu, Dr. Hilmi menggesa para guru memainkan peranan dengan memberi pendedahan berkenaan risiko permainan tersebut kepada pelajar di sekolah.

Dalam masa sama, beliau berharap pelajar tidak menganggap permainan itu sebagai gurauan kerana jelas berisiko membawa maut. – MalaysiaGazette