SHAH ALAM – Pas Selangor memperkecilkan program Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi anjuran Pakatan Harapan (PH) di Petaling Jaya pada Sabtu.
Parti itu menjangkakan dengan gabungan empat parti politik dalam PH sekurang-kurangnya himpunan berkenaan berjaya mengumpul lebih 500,000 orang.
Menurut Pesuruhjayanya, Sallehen Mukhyi, Pas yang bersendirian selepas keluar dari Pakatan Rakyat (PR) mampu mengumpul kehadiran lebih 250,000 orang pada Himpunan Fastaqim 2.0 di Kuala Terengganu akhir bulan lalu.
“Mereka (PH) empat parti iaitu PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP hanya mengumpul setakat 25,000 orang.
“Biar rakyat menilai sejauhmana sokongan dan kekuatan Pas dengan PH berdasarkan jumlah kehadiran orang ramai pada Himpunan Fastaqim 2.0 dan Himpunan Sayangi Malaysia,” katanya di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas program Himpunan Sayangi Malaysia anjuran PH yang diadakan di sebuah padang di Petaling Jaya pada petang Sabtu lalu.
Himpunan itu dihadiri Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAN, Mohamad Sabu. – MalaysiaGazette