Dr. S. Subramaniam.

 SEGAMAT – Kementerian Kesihatan akan melantik kontraktor baharu bagi  meneruskan pembinaan enam hospital yang dilaporkan ‘sakit’ berikutan kegagalan projek itu disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, langkah itu diambil selepas kementeriannya mengenal pasti faktor pemilihan kontraktor merupakan punca utama kesemua bangunan hospital terbabit tidak dapat beroperasi dalam tempoh dirancang.

“Selain tidak mempunyai modal yang cukup, kurang pengalaman juga antara punca kontraktor yang dilantik sebelum ini gagal menyelesaikan tugas mereka sehingga memaksa kementerian menghentikan khidmat mereka dengan serta-merta.

“Sehubungan itu, Jemaah Menteri memutuskan untuk memilih kontraktor  berpengalaman dalam pembinaan hospital bagi ‘merawat’ dan meneruskan projek enam hospital yang ‘sakit’ ini,” katanya kepada pemberita pada Program Penyampaian Sumbangan Sempena Deepavali kepada 300 pesakit di Hospital Segamat di sini hari ini.

Beliau berkata, antara hospital yang dilaporkan ‘sakit’ itu ialah di Cyberjaya, Bera di Pahang dan Rembau di Negeri Sembilan yang dijangka akan disiapkan sepenuhnya menjelang 2020.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam menggesa masyarakat khususnya pelajar sekolah untuk menghentikan segera trend permainan ‘pass out challenge’ atau mati lima saat kerana boleh memudaratkan kesihatan selain membawa maut.

Beliau berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan bagi menangani budaya itu yang semakin menular dalam kalangan segelintir pelajar sekolah di negara ini. – MalaysiaGazette