Janet Yellen. foto Agensi

WASHINGTON – Presiden Donald Trump akan bertemu dengan Pengerusi Rizab Persekutuan, Janet Yellen Khamis ini sebagai sebahagian daripada pencariannya untuk calon baharu bagi jawatan itu.

Sebelum ini, seorang pegawai White House berkata, Presiden Amerika Syarikat itu telah menemui ahli ekonomi Stanford University, John Taylor untuk membincangkan jawatan tersebut.

Trump sedang meneliti beberapa nama yang telah disenarai pendek untuk menggantikan Yellen.

Antaranya, Jerome Powell, seorang gabenor di Rizab Persekutuan, Kevin Warsh bekas gabenor, penasihat ekonomi Trump, Gary Cohn dan Yellen.

Yellen bakal menamatkan tempoh perkhidmatannya pada Februari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif White House, John Kelly berkata, Trump masih belum membuat keputusan tentang pengerusi Rizab Persekutuan.

“Masih ada lagi menemubual (calon),” kata Kelly kepada wartawan.

Menurut beliau, mereka yang ditemubual itu adalah dalam senarai pilihan pertama tetapi ada beberapa lagi.

Trump pada akhir bulan lalu memberitahu, beliau sudah bertemu dengan empat calon untuk menerajui Bank Pusat Amerika Syarikat dan akan membuat keputusan selama dua atau tiga minggu akan datang. – MalaysiaGazette