Home Nasional JHEAIK terima laporan ajaran sesat di Langkawi

JHEAIK terima laporan ajaran sesat di Langkawi

ALOR SETAR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) hari ini mengesahkan menerima laporan mengenai penularan satu klip video yang dipercayai menyebarkan ajaran sesat di Pulau Tuba, Langkawi.

Pengarahnya Datuk Abdul Rahman Ismail berkata, pihaknya mengarahkan Pejabat Agama Langkawi melakukan siasatan berhubung perkara itu.

“Berdasarkan apa yang saya lihat (pemerhatian awal) ilmu ini salah dari segi akidah dan fahaman yakni mempersoalkan mengenai kesaksian kita kepada Allah SWT serta mempersoalkan syahadat kita.

“Jadi saya sudah meminta pegawai membuat siasatan untuk mengenal pasti apa sebenarnya ajaran ini,” katanya kepada Bernama.

Video berkenaan yang tular di media sosial sejak seminggu lalu menunjukkan seorang lelaki dipercayai Tok Guru yang mempersoalkan mengenai kewujudan Allah SWT, syahadat serta rukun solat.

Turut dipaparkan dalam video berdurasi kira-kira enam minit itu ialah beberapa lelaki yang menyokong kenyataan Tok Guru terbabit.

Selain itu, beberapa keping gambar yang memaparkan rumah dan pondok dipercayai tempat untuk menyebarkan fahaman berkenaan dengan kalimah tertentu termasuk ‘Allahu Akbar’ dan ‘Al-Rahim’ tertulis di dinding luar pondok berkenaan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman turut menasihati umat Islam di negeri ini agar tidak mudah terpengaruh dan terpedaya dengan sebarang ajaran yang menyimpang dari fahaman Ahli Sunah Waljamaah.

“Sebarang ajaran yang bertentangan daripada ajaran Islam sebenarnya haruslah ditolak… berhati-hatilah dengan ajaran yang kita rasa menyimpang daripada fahaman kita selama ini dan laporkan segera kepada pejabat agama berdekatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah meminta para imam dan pemimpin agama di akar umbi agar memberikan kefahaman mengenai bahaya ajaran sesat kepada anggota kariah masjid masing-masing.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast