MTUC

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan bertegas dalam memastikan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dapat dilaksana pada 1 Januari tahun depan bagi melindungi kepentingan pekerja di sektor swasta di negara ini.

Presiden MTUC Abdul Halim Mansor berkata, pihaknya juga menyarankan kerajaan agar tidak melayan kerenah pihak tertentu yang mahu mengadakan dialog dan perbincangan mengenai perkara itu yang menurutnya hanya bertujuan melambat-lambatkan pelaksanaan sistem berkenaan.

“SIP ini bukannya satu bentuk faedah kepada pekerja, sebaliknya ia adalah satu sistem perlindungan kepada pekerja, jadi kalau kita menangguhkan pelaksanaannya, secara tidak langsung kita menidakkan perlindungan kepada pekerja.”

“(Rang undang-undang) sistem ini akan dibentangkan di Parlimen dalam bulan ini dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah menyatakan ia akan berkuat kuasa pada 1 Jan tahun depan, jadi kita tidak ada masa lagi untuk dialog,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Baru-baru ini, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan dilaporkan berkata Kementerian Sumber Manusia perlu mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi membincangkan beberapa perkara yang belum dipersetujui mengenai sistem itu.

Abdul Halim berkata, MTUC yang mewakili pekerja-pekerja di negara ini berasa kesal dan tersinggung dengan kenyataan Shamsuddin itu yang disifatkan seperti tidak prihatin terhadap risiko yang dihadapi pekerja-pekerja yang mungkin diberhentikan atau kehilangan pekerjaan akibat majikan ‘gulung tikar’.- BERNAMA