KUALA LUMPUR – OCBC Bank menjangkakan Bajet 2018 akan menangani kenaikan kos sara hidup melalui pelbagai insentif sasaran untuk kumpulan berpendapatan sederhana rendah melalui program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Dasar sosial lain turut terangkum dalam belanjawan bertema “Negaraku Membentuk Masa Depan” itu, yang akan menekankan pendidikan dan latihan, menambah baik standard penjagaan kesihatan serta perumahan mampu milik, menurut bank itu dalam nota mengenai prospek prabajet hari ini.
OCBC Bank berkata, kerajaan mungkin akan memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi melalui teknologi seperti robotik dan pengkomputeran awan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi digital di samping mewujudkan persekitaran tepat untuk meningkatkan pengeluaran.
“Dalam usaha menampung perbelanjaan lebih tinggi, kita menjangkakan kerajaan mencatatkan kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sehingga RM47.6 bilion berbanding anggaran 2017 sebanyak RM47.1 bilion.
“Selain itu, hasil cukai korporat dan pendapatan lebih tinggi dijangka selaras dengan persekitaranekonomi yang agak baik menjelang 2018,” menurut bank itu.
“Defisit belanjawan yang kecil dijangka direkodkan, dengan sokongan hasil lebih tinggi, didahului penerimaan GST sebanyak +14.4 peratus tahun ke tahun, serta duti eksport lebih tinggi (+29.1 peratus tahun ke tahun),” menurutnya.
Hasil yang lebih tinggi akan dapat menyokong perbelanjaan yang agak tinggi (perbelanjaan mengurus: +2.7 peratus dan perbelanjaan pembangunan: +7.9 peratus).
“Keseluruhannya, kami mengunjurkan Malaysia mencatat defisit belanjawan 2.9 peratus daripada KDNK pada 2018, berbanding anggaran 3.0 peratus pada 2017,” menurut bank itu.- MalaysiaGazette