Kekasih cemburu punca ‘gaduh antara kaum’

IPOH – Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan meminta orang ramai berhenti menyebarkan maklumat yang mengatakan berlakunya pergaduhan antara kaum menerusi satu video pergaduhan yang menjadi tular sejak semalam.

Sebaliknya, menurut Hasnan, video pergaduhan yang melibatkan dua kumpulan tersebut berpunca daripada perasaan cemburu melibatkan sepasang kekasih berlainan bangsa sehingga berlaku perselisihan faham antara mereka.

“Pergaduhan itu tiada sangkut paut dengan konflik antara kaum, ia hanya berkaitan isu seorang lelaki yang ada selisih faham dengan kekasihnya. Mungkin kerana perasaan cemburu.

“Jadi kita minta, orang ramai untuk menghentikan apa juga tanggapan berkaitan isu perkauman ini kerana ia sama sekali tidak benar.”

Isnin lalu, pihak polis mengesahkan menerima dua laporan polis berkaitan kes pergaduhan sehingga mengakibatkan kecederaan yang berlaku di Ipoh Garden.

Laporan pertama diterima pada jam 1.30 pagi melibatkan seorang wanita mendakwa dipukul sekumpulan lelaki di hadapan sebuah bank di Ipoh Garden. Kejadian menyebabkan wanita itu cedera di jari, kepala dan kaki.

Laporan kedua pula diterima satu jam selepas itu daripada seorang lelaki mendakwa dipukul sekumpulan lelaki dan wanita di sebuah pusat hiburan di Ipoh Garden.

Hasnan berkata, kedua-dua kes itu kini disiasat dibawah Seksyen148 Kanun Keseksaan.-MalaysiaGazette