GEORGE TOWN –  Pasukan Bomba dan Penyelamat mengesahkan hanya 11 mangsa tertimbus dalam tragedi tanah runtuh di tapak projek di Tanjung Bungah di sini pagi semalam.

Jurucakapnya berkata, pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati 14 mangsa terlibat dalam bencana itu namun tiga daripada mereka berjaya diselamatkan.

Dalam pada itu, katanya, setakat pukul 12 tengah hari ini, tujuh mayat berjaya ditemui dengan mayat terbaharu dijumpai kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Bagaimanapun, usaha mengeluarkan mayat ketujuh dipercayai warga Myanmar itu berdepan kesukaran kerana terdapat struktur binaan yang turut tertimbus bersama mayat berkenaan.

Katanya, ketika ini kerja-kerja mengeluarkan mayat berkenaan sedang dilakukan secara berhati-hati bagi memastikan keadaan mayat tidak terjejas.

“terdapat beberapa struktur binaan berhampiran mayat ketujuh yang dijumpai dan ketika ini kerja-kerja mengeluarkan mayat sedang giat dijalankan, ” katanya.

Dalam kejadian awal pagi semalam, 11 pekerja tertimbus ketika sedang bekerja di tapak binaan sebuah projek rumah mampu milik di Tanjung Bungah di sini akibat runtuhan tanah di lereng bukit berhampiran tapak projek berkenaan.

Mereka terdiri daripada 10 warga asing iaitu Bangladesh, Indonesia dan Myanmar manakala seorang lagi merupakan rakyat tempatan yang dipercayai penyelia tapak projek berkenaan.- MalaysiaGazette