KUALA LUMPUR – Berdasarkan laporan media, hanya bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad seorang sahaja menghujahkan mengenai hak pengusaha dobi yang meletakkan tanda ‘Untuk Orang Islam Sahaja’.
Yang lainnya, daripada tokoh korporat, mufti, parti politik Islam pembangkang, Perdana Menteri, Majlis Raja-Raja dan lain-lain sama ada tidak bersetuju sehingga mengutuk tindakan pengusaha dobi tersebut.
Dua kumpulan lain pula agak senyap iaitu parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam.
“Saya tidak tahu apakah sebab sebenar. Mungkinkah mereka tidak perlu berbuat apa-apa atau beranggapan biarlah orang Islam menghentam orang Islam sendiri,” kata Abdul Hamid dalam reaksinya berhubung artikel beliau bertajuk, ‘Tak Salah Kedai Dobi Muslim: Bekas Ketua Hakim Negara’ yang disiarkan 17 Oktober lalu.
Menurutnya, artikel itu juga turut mendapat perhatian satu kumpulan ulama yang mengeluarkan kenyataan dan memuatkan rencana beliau di portal mereka.
“Pas menyiarkan rencana itu sepenuhnya dalam Harakah Daily, tetapi saya tidak jumpa pula kenyataan daripada Presidennya atau Jawatankuasa Ulamanya.
“Persatuan Ulama dan Ulama Muda juga tidak bersuara. Tidak ada seorang pun Mufti mempertahankan tindakan pengusaha dobi itu.
“Mungkinkah kerana Raja-Raja mereka melalui Majlis Raja-Raja telah mengeluarkan kenyatan menyokong Sultan Johor?” soalnya.
Bagaimanapun, kata Abdul Hamid, dalam tempoh lebih seminggu memuatnaikkan rencana itu ke laman webnya di http://www.tunabdulhamid.my dan https://tunabdulhamid.me, kedua-duanya menerima pelawat seramai 2,206.
Katanya, beliau juga menerima maklum balas daripada orang yang tidak dikenalinya melalui e-mel, antaranya peguam, ahli perniagaan, korporat dan profesor.
“Apabila saya tanya di mana mereka membacanya, mereka mengatakan menerimanya melalui aplikasi WhattsApp. Mereka juga memberitahu saya rencana itu telah tular, selain terdapat banyak sokongan senyap dan NGO menyokong.
“Yang menariknya, mereka bukan sahaja menyatakan bersetuju, menyokong dan syabas, malah mengucapkan tahniah kerana (saya) membela hak pengusaha dobi itu. Lebih menarik lagi adalah alasan yang mereka beri,” katanya.
Ujar Abdul Hamid, seorang peniaga ketika memberi maklum balas mengenai rencana itu, menyifatkan hujahnya sebagai tepat dan asli, manakala seorang lagi mengatakan ia adalah hujah paling rasional beliau baca.
“Ada yang mengatakan hujah terbaik. Seorang ahli korporat menyifatkan rencana itu sebagai sangat ‘articulate’, malah ada yang mengatakan rakan mereka di akhbar harian nasional Melayu memuji hujah saya itu. Mereka melihat kepada hujah, bukan kenyataan yang dibuat,” katanya.
Biar apapun, katanya, sehingga hari ini belum ada orang menulis rencana untuk menunjukkan beliau itu tidak betul. – MalaysiaGazette