gambar fail MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Pihak di luar sana termasuk pembangkang yang masih mempersoalkan tentang pembangunan sekolah Tamil di negara ini digesa supaya membuka mata mereka.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berharap mereka yang mengutuk tentang sekolah Tamil supaya insaf dengan melihat sendiri transformasi sekolah Tamil di bawah kerajaan BN.

“Sejak enam tahun lalu sekolah Tamil di negara ini mengharungi perubahan besar dan menakjubkan.

“Khususnya sejak Datuk Seri Najib Razak menjawat jawatan Perdana Menteri, beliau telah memberikan peruntukan besar dalam sejarah iaitu RM900 juta setakat ini untuk pembangunan kesemua 523 sekolah Tamil.

“Malah beliau juga menambah pembangunan tujuh l;agi sekolah Tamil Baharu yang kemudian bakal menyaksikan peningkatan kepada 530 sekolah,” katanya dalam ucapan di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu di Lembah Pantai hari ini.

Subramamiam juga terharu dengan komitmen dan kepedulian kerajaan BN dibawah Najib yang meningkatkan mutu dan kualiti pendidikan sekolah.

“Jika 40 atau 50 tahun lalu, sekolah Tamil buruk seperti kandang tanpa kemudahan asas dan akademik untuk murid kini ia berubah wajah berdiri megah dengan pembangunan moden seperti univerisiti dengan segala kemudahan lengkap hasil kepedulian dan transformasi dibawah Najib,” ujarnya lagi.

Justeru beliau gembira pencapaian sistem pengajaran dan pembelajaran akademik di sekolah Tamil juga menampakkan pertumbuhan yang memberangsangkan berikutan adanya guru bergraduan yang ramai.

“Oleh demikian pihak di luar yang mempunyai persepsi negatif mengenai kualiti dan mutu pendidikan sekolah Tamil perlu melepaskan tanggapan itu segera.

“Sebaliknya kerjasama dan tampil ke hadapan untuk membantu perkembangan sekolah Tamil di negara ini.

“Jangan asyik hendak mengutuk sahaja mengenai pembangunan sekolah Tamil ke arah kerajaan,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette