JOHOR BAHRU – Satu aktiviti pengedaran pil ekstasi di pusat-pusat hiburan di bandar raya ini berjaya dilumpuhkan dengan sejumlah 19,970 pil ekstasi bernilai RM599,100 dirampas di sebuah rumah di Taman Sinaran Kempas semalam.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Kamaruddin Md Din berkata, rampasan pada 2.45 petang itu dijalankan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor.
Menurutnya, ia hasil soal siasat dijalankan ke atas empat suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita tempatan dan seorang lelaki Indonesia berusia antara 26 hingga 39 tahun yang ditahan di Setia Tropika pada Jumaat lalu.
“Susulan itu, salah seorang suspek membawa polis ke sebuah rumah di Taman Sinaran Kempas dan menemukan pil ekstasi berjumlah 19,970 dianggarkan bernilai RM599,100 yang disorok di salah sebuah bilik di rumah itu,” katanya pada sidang media di IPK Johor di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan awal mendapati mereka sudah menjalankan aktiviti pengedaran pil ekstasi yang dipercayai diproses di negara ini sejak tiga bulan lepas.
Beliau berkata, semua mereka kini ditahan reman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Mohd. Kamaruddin memberitahu, dari Januari hingga Oktober tahun ini, seramai 14,007 orang masing-masing terdiri daripada 2,329 (membekal), 4,181 (memiliki) dan 7,497 (pengguna) berjaya ditahan.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 1,516 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai RM39.8 juta dirampas dan sebanyak RM16.9 juta harta pengedar dadah berjaya disita,” katanya seramai 85 orang turut ditahan di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985. – MalaysiaGazette.