Datuk Seri Mahdzir Khalid

PUTRAJAYA – Sebanyak 10 sekolah Cina yang baharu akan dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan bagi memenuhi keperluan pendidikan masyarakat Cina di negara ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, lima buah sekolah baharu akan dibina di Selangor manakala lima lagi di Johor.

Di Selangor sekolah baharu yang akan dibina ialah SJKC Lee Loy Seng, Bandar Seri Coalfields, Mukin Ijok, Kuala Selangor, SJKC Sunsuria, Sunsuria City, Mukim Dengkil, Sepang, SJKC Too Joon Hing, Mukim Dengkil Sepang, SJKC Tun Ong Yoke Loin, Gamuda Cove, Kuala Langat dan SJKC Tun Lim Chong Eu, Eco Grandeur, Puncak Alam.

Lima lagi sekolah akan dibina di Johor iaitu SJKC Kuek Ho Yao, Mount Austin, Mukim Tebrau, daerah Johor Bahru, SJKC Sim Mow Yu, Meridin East, Taman Bestari Perdana Mukim Plentong, SJKC Tun H.S.Lee, Bandar Cemerlang, Ulu Tiram, Tebrau, SJKC Tan Kah Kee, Mukim Kulai, Iskandar Puteri dan SJKC Cheah Fah, Mukim Pulai, Sunway Iskandar, Iskandar Nusajaya, Johor Bahru.

Dalam pada itu, katanya KPM juga akan memindahkan enam buah sekolah Cina ke lokasi baharu.

“Dua daripada enam sekolah yang terlibat dalam pemindahan ke lokasi baharu akan dikemukakan nama baharu sebagai menggambarkan lokaliti sebenar selepas sekolah dipindahkan ke tapak baharu.

“Manakala tiga lagi daripada enam sekolah itu juga iaitu SJKC Poi Min, Gopeng, Perak akan dipindahkan ke Puchong Selangor, SJKC Aik Hua Taiping ke Kota Serimas Negeri Sembilan manakala SJKC Ladang Regent Gemenceh ke bandar Elmina Selangor,” katanya dalam ucapan Majlis Pengumuman dan penyerahan surat kelulusan pembinaan SJKC baharu di Kementerian Pendidkan hari ini.

Turut hadir Presiden MCA merangkap Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan merangkap Menteri Komoditi Perladangan dan Perinfustrian, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Pada masa ini katanya, terdapat 1,298 sekolah Cina yang di seluruh negara dan 883 daripadanya berstatus sekolah bantuan kerajaan.

Daripada bilangan itu, sebanyak 454 sekolah adalah sekolah kurang murid yang mempunyai kemasukan 150 murid atau kurang (data sehingga 31 Ogos 2017).

Ujarnya, bagi memenuhi keperluan pendidikan masyarakat Cina, pembinaan SJKC baharu dilaksanakan di kawasan yang mempunyai penduduk Cina yang ramai.

Pertumbuhan ekonomi dan kependudukan akan menyebabkan sekolah di sesebuah kawasan padat dan sesak dengan pelajar.

“Ada sekolah Menengah di Kapar yang bilangan pelajar mencapai sehingga 4,000 orang dan juga di Kedah, Perak serta Johor.

“Ia akhirnya membawa keadaan tidak kondusif suasana pembelajaran, yang mendesak pembinaan sekolah-sekolah baharu,” ujarnya.

Oleh demikian, jelasnya, kementerian telah meluluskan permohonan pembangunan 10 sekolah SJKC baharu dan enam lagi sekolah Cina akan dipindahkan ke tempat baharu.

“Keputusan itu dicapai sebulat suara setelah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah, Pegawai Pendidikan di kementerian.

“Kalau ada pihak lagi di luar sana yang mengatakan bahawa tidak ada usaha kerajaan untuk membantu hal berkaitan SJKC atau SJKT, saya menolak sebarang tuduhan seumpama itu,” tegasnya. – MalaysiaGazette