Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah mengambil langkah pencegahan dengan mengeluarkan arahan kepada Lowyat.net supaya membuang iklan dan laporan berhubung data secara besar-besaran melibatkan maklumat peribadi jutaan rakyat Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, pihaknya  memandang serius pendedahan isu kebocoran data tersebut dan siasatan sudah dijalankan oleh SKMM dan polis bagi mengenalpasti dalang yang terlibat.

“SKMM dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedar dan memandang serisu mengenai insiden ketirisan data peribadi rakyat Malaysia melalui laman web tersebut.

“Sebagai langkah pencegahan, SKKM telah minta pentadbir laman sesawang Lowyat.net untuk turunkan iklan penjualan tersebut,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Salleh berkata, laman tersebut memberikan kerjasama dengan baik dan mengingatkan setiap pengguna data agar mematuhi garis panduan dalam menggunakan data peribadi rakyat Malaysia.

“Pentadbir laman sesawang telah beri kerjasama dengan turunkan iklan dan artikel berkaitan.

“Di samping itu, kementerian melalui JPDP menguatkuasakan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 untuk kawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial. Setiap pengguna data wajib patuhi prinsip perlindungan data peribadi dalam kendalikan data milik pelanggan untuk pastikan ia tidak disalahguna,” katanya.

Dalam pada itu, Salleh juga memberitahu, SKMM dengan kerjasama pihak polis sedang menyiasat bagi mengenalpasti pihak yang tidak bertanggungjawab menjual data peribadi rakyat Malaysia kepada pihak ketiga seperti yang didedahkan dalam laman Lowyat itu.

“Sehubungan dengan itu, Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi dan SKMM dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Agensi Keselamatan Siber Negara di bawah MKN (Majlis Keselamatan Negara), PDRM telah jalankan siasatan dalm tangani isu tersebut dan harap semua tak buat spekulasi sehingga pihak berkuasa lengkapkan siasatan,” ujarnya.

Lowyat.net, dalam laporannya pada 18 Oktober lalu berkata, ia mendapat maklumat bahawa ada pihak sedang menjual pengkalan data maklumat peribadi milik rakyat Malaysia.

Portal teknologi itu mendakwa pada peringkat awal, ia sangat ragu-ragu dan menganggap cubaan menjual data peribadi itu sebagai penipuan. Tetapi dakwa portal itu lagi setelah disiasat mendapati ia mungkin ‘kebocoran data paling besar dalam sejarah Malaysia’.

Antara data untuk dijual itu ialah 50 juta masukan daripada berbagai syarikat telekomunikasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast