Seorang broker jualan kenderaan bergelar Datuk, yang ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek kerajaan bernilai jutaan ringgit, dibebaskan hari ini.

SEREMBAN – Seorang kakitangan Tenaga Nasional Bhd (TNB) direman selama tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan membabitkan kes rasuah.

Perintah reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Khas Reman Nur Haryatie Mohd Saini selepas mendapat permohonan daripada Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Khairi Abdul Karim.

Kakitangan TNB yang berusia 38 tahun itu ditahan di pejabatnya di sini kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Suspek yang tidak diwakili peguam, ditahan selepas SPRM menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa pada Rabu lepas kakitangan TNB itu telah meminta beliau membayar RM280 sebagai balasan untuk mempercepatkan urusan penyambungan elektrik di rumahnya yang baru dibeli.

Pengadu juga mendakwa beliau telah membayar RM200 bagi tujuan yang sama kepada suspek di kaunter TNB pada 18 Sept lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

— BERNAMA