Mayat kanak-kanak lelaki yang jatuh ke dalam parit ditemukan pasukan Bomba dan Penyelamat di bawah jambatan Kota Masai dekat Pasir Gudang, Johor.

JOHOR BAHRU – Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun yang dipercayai terjatuh ke dalam parit di kawasan Taman Scientex dekat Pasir Gudang semalam, ditemukan di bawah jambatan Kota Masai pagi ini.

Mayat mangsa, Muhammad Fakrul Najman Fauzi ditemukan terapung oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat pada 8.50 pagi semasa usaha mencari kanak-kanak lelaki itu diaktifkan semula pada pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Ibrahim Omar berkata, mangsa ditemukan pada jarak 2.5 kilometer daripada lokasi kanak-kanak lelaki itu dipercayai terjatuh semalam.

“Kita terima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.50 petang semalam dan usaha mencari dan menyelamat mangsa digerakkan dan operasi dihentikan pada 12 tengah malam sebelum disambung pada 7 pagi ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari yang dijalankan semalam tidak berhasil kerana mangsa dipercayai dihanyutkan aliran deras ekoran hujan lebat.

Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette