Marie Droz mengalami patah tangan selepas diserang sekumpulan lelaki di India. foto Agensi

NEW DELHI – Pasangan Switzerland diserang di Fatehpur Sikri, sebuah monumen yang terletak kira-kira 44 kilometer dari Taj Mahal, kata polis India.

Sekumpulan lelaki, antara tiga atau empat orang telah menyerang Quentin Jeremy Clerc dan Marie Droz selepas berlaku pertengkaran Ahad lalu.

Media setempat melaporkan, Clerc mengalami tengkorak patah dan Droz pula patah tulang di tangannya.

Mereka sedang dirawat di sebuah hospital di Delhi.

Jurucakap polis Uttar Pradesh berkata, semua penyerang telah ditahan.

Clerc berkata, pertengkaran berlaku selepas kumpulan lelaki itu mengambil gambar mereka.

Kumpulan lelaki itu didakwa telah memaksa Droz bergambar bersama mereka dan mengikut mereka selama sejam sebelum menyerang dengan kayu.

Pegawai polis Agra, Amit Pathak berkata, pasangan itu telah datang ke balai polis dan mereka kemudian dibawa ke hospital.

Pasangan itu tidak mahu memfailkan laporan polis, tetapi kes telah didaftarkan.

Menteri Luar India, Sushma Swaraj meminta kerajaan di Uttar Pradesh menyerahkan laporan mengenai kes itu. – MalaysiaGazette