Bajet 2018 dilihat mampu merancakkan sektor automotif, melalui pelbagai impak positif secara langsung dan tidak langsung kepada pelbagai pihak yang berkecimpung atau ingin berkecimpung di dalam sektor automotif, kata Institut Automotif Malaysia (MAI). - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Bajet 2018 dilihat mampu merancakkan sektor automotif, melalui pelbagai impak positif secara langsung dan tidak langsung kepada pelbagai pihak yang berkecimpung atau ingin berkecimpung di dalam sektor automotif, kata Institut Automotif Malaysia (MAI).

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Madani Sahari berkata, lapan pe-tunjang yang dibentangkan dalam bajet itu memberikan fokus yang berstruktur, berdasarkan keperluan strategik lapisan-lapisan individu dan entiti perniagaan yang berbeza dan mempunyai keperluan yang spesifik dalam meningkatkan daya upaya dan kebolehan masing-masing.

“Bajet tahun ini memberikan pendekatan khusus kepada mempersiaga Malaysia seiring Industri 4.0.

“Pengeluar komponen kenderaan (vendor) dilihat dapat buat anjakan baharu, hasil daripada peruntukkan RM245juta bagi menaik taraf kemudahan Pengilangan Pintar (Smart Manufacturing),” kata beliau kepada Bernama.

Ia sebagai mengulas Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Selain itu, Madani berkata fokus yang diberikan kepada Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga dapat membuka peluang kerjaya baharu serta peningkatan kerjaya bagi mereka yang berkemahiran.

“Industri automotif memerlukan ramai pekerja yang cenderung di dalam dalam jurusan kemahiran tinggi di setiap pelusuk industri, sama ada di sektor pengilangan mahupun lepas jualan,” katanya.

Menurut Madani lagi, pe-tunjang pertama (merancak pelaburan, perdagangan dan industri) dilihat akan merangsang pelaburan dan perniagaan secara lebih inklusif, termasuk sektor automotif.

Peruntukan yang berjumlah RM1.25 billion bagi peningkatan eksport dapat merangsang kadar eksport bagi pengeluar-pengeluar komponon tempatan.

“Lebih menarik, peruntukan pembiayaan mikro yang dibentangkan di dalam bajet 2018 diharap dapat memberi insentif kepada peniaga-peniaga kecil untuk berkecimpung di dalam sektor automotif.

“Peniaga mikro kini berpeluang berkecimpung di dalam pelbagai jenis perniagaan yang berkaitan sektor automotif, seperti bengkel motosikal, membaik pulih kusyen kereta, fabrikasi peralatan logistik dan sebagainya,” katanya.

Secara amnya, beliau menambah, bajet 2018 banyak memberi fokus kepada peningkatan jangka panjang ekonomi dalam 30 tahun yang akan datang.

“Rangkuman bajet ini diharap akan memberi impak dan impetus baharu kepada rakyat untuk membawa Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi,” tambah beliau.

— BERNAMA