KUALA LUMPUR – Akhbar-akhbar Cina telah memberi reaksi yang sangat positif berhubung pengumuman Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang meluluskan permohonan pembangunan 10 sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) manakala enam buah lagi akan dipindahkan dari kawasan luar bandar ke kawasan tumpuan penduduk.
Walaupun editorial Nanyang Siang Pau mengaitkan “berta baik pecah rekod” tersebut dengan pilihan raya, tetapi ia tetap menganggap pengumuman itu berjaya menenangkan suasana muram ekoran beberapa isu membebankan termasuk berkenaan festival bir dan dobi untuk Muslim.
“Tiada orang yang akan menolak gula-gula pilihan raya ini, apatah lagi pendidikan dan ekonomi merupakan dua bidang yang paling diambil berat masyarakat Cina.”
Oriental Daily pula melaporkan pemindahan dan pembangunan tujuh buah SRJKC di Johor Bahru amat menggembirakan masyarakat setempat.
Pertambahan penduduk Cina di Johor Bahru telah menyebabkan keperluan SRJKC menjadi lebih mendesak.
Wakil Dong Zong Johor, Tan Tai Kim berkata, walaupun pihaknya mengharap tambahan lapan buah SRJKC, tetapi pembangunan lima sekolah dan pemindahan dua lagi ke Johor adalah berita yang cukup memberangsangkan buat masyarakat Cina.
Walaupun begitu, pemindahan sebuah sekolah Cina dari Taiping, Perak ke Kota Seriemas di Negeri Sembilan menimbulkan pertanyaan penduduk Cina tempatan.
Keadaan itu berlaku, menurut Sinchew Daily, kerana sudah terdapat empat buah SRJKC dalam lingkungan 20 kilometer dari Kota Seriemas.
Selain terletak di kawasan majoriti Melayu, empat buah SRJKC sedia ada yang terletak di Salak dan Sepang di Selangor serta Nilai di Negeri Sembilan dilaporkan cukup untuk menampung keperluan semasa.
Dua daripada sekolah sedia ada mempunyai bilangan murid yang tidak banyak iaitu tidak melebihi 150 orang. – MalaysiaGazette