KUALA LUMPUR – Perodua merekodkan jualan sebanyak 151,600 unit untuk tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September lalu, naik 0.5 peratus daripada 150,600 dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, syarikat itu optimistik jualan pada suku keempat pada tahun ini lebih baik sejajar dengan inisiatif yang dirancang pada suku terakhir tahun ini.

Bagi suku ketiga 2017, jualan Perodua perlahan sedikit sebanyak 3 peratus kepada 51,900 berbanding 53,500 untuk suku ketiga 2016.

“”Jumlah jualan yang lebih besar pada suku ketiga tahun lepas adalah disebabkan oleh memperkenalkan Perodua Bezza pada 21 Julai tahun lalu. Kesan itu telah dinormalisasi sekarang dan jualan kami mendapat mendapat manfaat daripada pengenalan model,” katanya.

Aminar berkata, suku keempat tahun ini mencabar disebabkan faktor kelulusan untuk pinjaman sewa beli dan jangkaan persaingan sengit dari auto jenama lain namun Perodua percaya momentum dapat bertahan dan optimitik dengan sasaran jualan 202,000 kenderaan pada akhir tahun ini.

Ujar Aminar, dari Januari hingga September tahun ini, Axia adalah jualan terbaik negara bagi segmen A dengan 48,700 unit dijual, diikuti oleh Perodua Myvi (42,000), Perodua Bezza (39,800) dan Perodua Alza (21,400).

Katanya, dengan prestasi jualan itu, jumlah pengambilan servis juga meningkat sebanyak 4.6 peratus kepada 1.58 juta dalam tempoh sembilan bulan tahun ini berbanding 1.51 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Jumlah pengeluaran kenderaan Perodua menyusut pada tempoh berkenaan kepada 147,900 berbanding 153,700 unit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast