Datuk Seri Hishammudin Tun Hussien. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 18 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Sebanyak 52,860 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) telah dibina sebagai langkah memastikan anggota tentera mempunyai rumah sendiri melalui pemilikan rumah mampu milik (RMM) bagi anggota berkhidmat dan veteran ATM.

Namun menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, jumlah tersebut masih tidak mampu menampung keseluruhan keperluan lalu, ianya masih lagi memerlukan penambahan sebanyak 40,627 unit RKAT.

Tambahnya, fokus tersebut telah diterjemahkan melalui Teras Kebajikan anggota dan veteran ATM dan penubuhan pasukan bertindak perumahan yang telahpun dilaksanakan di peringkat ATM dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

“Kesemua fasa-fasa dan pendekatan ini akan kita muatkan dalam pelan induk Blueprint Perumahan ATM yang akan menetapkan secara telus perancangan kita untuk agenda perumahan sehingga tahun 2030.

“Melalui Rancangan Malaysia ke-11, sebanyak 12 projek RKAT yang melibatkan pembinaan 3272 unit rumah bernilai RM1.276 bilion telah diluluskan,” katanya bagi menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa di Dewan Rakyat,hari ini.

Terdahulu, Annuar meminta kerajaan menyatakan jumlah projek perumahan anggota tentera dalam perkhidmatan dan juga veteran yang telah didirikan dan dalam proses pembinaan.

Mengulas lanjut Hishammuddin berkata sehingga kini tiga projek telah disiapkan termasuk Kem Desa Pahlawan di Kelantan, empat projek sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2019. -MalaysiaGazette