Noor Rashid Ibrahim.

BUKIT KAYU HITAM – Polis Bukit Aman akan meneliti semula kertas siasatan yang melibatkan beberapa rekod lampau yang disabitkan dengan seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang didakwa memukul tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata beliau sudah mengarahkan pegawai berkenaan di Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang Bukit Aman untuk mendapatkan fail siasatan itu bagi melihat rekod lampau tersebut.

“Kami juga sedang mengeluarkan kes-kes dia yang dahulu, nak tengok mengapa tindakan tidak diambil, ada bukti cukup ataupun tidak…kami sedang mengkaji sekarang…kalaulah kami ada keterangan untuk kami ambil tindakan, kami juga akan mengambil tindakan ke atas kes-kes lampau lelaki tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang baharu bagi fasa satu di sini hari ini.

Ahmad Zahid turut mempengerusikan Mesyuarat Kedua Peringkat Tertinggi (HLC) mengenai Keselamatan dan Kawalan Sempadan Negara di kompleks berkenaan.

Noor Rashid berkata lelaki yang direman empat hari bermula 31 Okt lepas, turut didapati positif dadah dalam keputusan ujian saringan urinnya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast