SEPANG, 2 Nov -- Putera Wales dan Duchess of Cornwall tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam ini. Lawatan rasmi oleh pewaris takhta Britain dan isteri ini bermula esok hingga 8 November ini dan merupakan lawatan ketiga anggota kerabat diraja Britain ke Malaysia sejak 1998. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEPANG – Putera Charles, Prince of Wales dan isteri baginda Camilla, Duchess of Cornwall tiba hari ini bagi lawatan rasmi bersempena ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom (UK).

Pesawat Tentera Udara Diraja yang membawa pasangan diraja itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 6.45 petang dan ketibaan baginda berdua disambut oleh Menteri Pengiring Datuk Seri S. K Devamany, yang juga merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Turut hadir Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pesuruhjaya Tinggi British di Malaysia Vicki Treadell.

Putera Charles dan Camilla kemudiannya berjalan melintasi barisan Kawalan Kehormat statik.

Pasangan diraja itu dijadual melawat pelbagai tempat di Kuala Lumpur, Perak, Sarawak dan Pulau Pinang selain menyertai pelbagai acara penting sepanjang lawatan selama tujuh hari dari 2 hingga 8 Nov.

Putera Charles dan Camilla dijangka bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat Malaysia termasuk kerabat diraja, kanak-kanak kurang upaya dan komuniti perniagaan.

Pasangan diraja itu juga dijadual akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara serta menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Ini merupakan lawatan pertama pasangan diraja itu ke Malaysia.

Kerabat diraja British yang pernah melawat Malaysia sebelum ini ialah Ratu Elizabeth II dan Duke of Edinburgh bagi menghadiri upacara perasmian Sukan Komanwel Ke-16 di Kuala Lumpur pada 1998 dan Putera William, Duke of Cambridge dan isteri Kate Middleton, Duchess of Cambridge, pada September 2012.

Hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom meliputi pelbagai bidang termasuk perdagangan, pertahanan dan keselamatan, pelaburan, pendidikan, ekonomi digital, teknoloji hijau, tenaga boleh diperbaharui dan pelancongan.

Malaysia merupakan pasaran eksport kedua terbesar United Kingdom di ASEAN dan UK ialah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Eropah manakala dalam bidang pendidikan, kini terdapat lebih 18,000 rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran di UK.

Lawatan pasangan diraja itu merupakan sebahagian daripada lawatan ke Singapura, Malaysia dan India dari 30 Oktober sehingga 9 November.

Putera Charles dan Camilla memulakan lawatan di Singapura pada 30 Oktober.

Selepas melawat Malaysia, baginda berdua akan meneruskan lawatan ke India selama 11 hari. – MalaysiaGazette