PHNOM PENH – Langkah berani jutawan warga Malaysia, Tan Sri Dr. Chen Lip Keong meluaskan empayar perniagaannya di Kemboja menerusi syarikatnya, NagaCorp menjadi penyumbang sebanyak tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang berjumlah US$19 juta pada tahun 2016.
Jutawan berasal dari Ipoh itu mula membuka perniagaan dengan memperkenalkan khidmat tongkang di Sungai Mekong pada tahun 1995 dibawah program yang diperkenalkan kerajaan Malaysia, Prosper Thy Neighbor yang bertujuan membantu ekonomi negara jiran.
Bermula dengan sebuah perniagaan itu bekas doktor itu tidak memandang ke belakang lagi dan pada tahun sama membuka resort hiburan pertama, NagaWorld di Kemboja.
Selepas 22 tahun pembukaan resort ikonik berkenaan, sebuah lagi pusat hiburan dan resort baharu bertaraf lima bintang, NagaWorld2 yang terletak bersebelahan resort lama telah memulakan operasinya.
Ia dijangka akan menjadi tarikan utama pelancong seluruh dunia.
Lebih menarik lagi, pembinaan NagaWorld2 dibina tanpa sebarang mengambil pinjaman dari mana-mana institusi kewangan dan dibina daripada hasil keuntungan yang dijana daripada resort lama.
“Kami mahu membawa kejayaan disini (Kemboja) ke negara lain di rantau ini,” kata Lip Keong semasa taklimat bersama media di hotel baharunya semalam.
Beliau yakin dengan kejayaan pembukaan NagaWorld2 mereka mampu mendominasi pasaran hotel dan hiburan di rantau Asia Tenggara.
“Kami yakin dengan pembukaan NagaWorld2 ini dapat mampu mendominasi pasaran di rantau ini,” katanya lagi.
Selain itu, pembukaan rangkaian hotel yang sama juga berjaya meluaskan industri pelancongan di Kemboja dengan peningkatan 25 peratus kehadiran pelancong pada tahun 2016 berbanding 23 peratus pada tahun 2015.
NagaWorld banyak membawa masuk pelancong terutamanya dari China dan negara-negara rantau Asia lain untuk melawat negara yang penuh bersejarah itu.
Sementara itu, Duta Malaysia ke Kemboja, Datuk Seri Hasan Malek menyifatkan kejayaan NagaWorld contoh kemampuan rakyat tempatan membangunkan ekonomi negara rantau Asia Tenggara.
“Ini adalah salah contoh kejayaan Malaysia membantu negara di Asia Tenggara, ketika Kemboja berdepan kesusahan selepas era kekejaman Pol Pot dan Malaysia merupakan negara yang paling banyak membantu.
“Mereka dihantar untuk meneroka perniagaan di Kemboja dan membantu meningkatkan ekonomi mereka,” ujarnya.
Menurut Hasan, susulan kejayaan dan keuntungan yang diraih oleh NagaWorld, beliau akan cuba membawa keuntungan tersebut balik ke Malaysia.- MalaysiaGazette