Bayi yang masih hidup dan bertali pusat ditemui dicelah-celah pokok di belakang sebuah resort di Gerikp, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) terkejut selepas mendengar tangisan semasa dia berada dalam bilik sebuah resort dekat Gerik  tengahari tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, pemandu tersebut dikatakan mendengar tangisan itu pada jam 11.00 pagi tadi sebelum bertindak mencari dari mana datangnya tangisan itu bersama rakannya.

“Mereka tidak tahu bunyi itu bunyi tangisan bayi atau mungkin bunyi haiwan. Jadi, mereka pergi masuk ke kawasan belukar di belakang resort dan mencari punca bunyi itu.

“Ketiga-tiganya terkejut apabila menemukan seorang bayi lelaki yang masih hidup dan bertali pusat dalam keadaan kesejukan di celah-celah pokok di belakang bilik resort itu.

“Mereka kemudiannya mengambil bayi tersebut dan membawanya ke Klinik Kem Sri Banding sebelum membawanya ke Hospital Gerik untuk tindakan selanjutnya,” katanya lapor sebuah laman portal.

Tambah beliau, siasatan lanjut berhubung kes itu sedang berjalan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette