KUALA LUMPUR – “Saya dilantik sebagai kordinator kawasan ini, dan saya menjalankan amanat yang dipertanggungjawabkan sebaik-baiknya.”
Itu tegas Ketua Pemuda MIC, Datuk C. Sivarrajh mengenai kemelut parti mana yang layak memiliki kerusi Parlimen Cameron Highlands.
Walaupun dikritik oleh penyokong Presiden myPPP, Tan Sri M. Kayveas yang juga menguar-uarkan dirinya sebagai calon BN kerusi yang sama pada PRU-14, Sivarrajh tetap berpendapat MIC perlu mempertahankan kerusi milik parti itu di pusat peranginan berkenaan.
“Kenapa MIC perlu melepaskan kerusi Parlimen Cameron Highlands kepada pihak lain?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, tidak ada sebab untuk MIC melepaskan kerusi tradisinya yang ditanding sejak tahun 2004 itu kepada parti komponen lain dalam BN.
“Memandangkan MIC boleh mempertahankan semula kerusi itu pada PRU-14 kali ini dan peluangnya sangat cerah, kenapa pula MIC perlu melepaskan kerusi itu pada parti lain.
“PRU-13 lalu MIC menang kerusi itu menerusi Datuk Seri G. Palanivel, maka MIC tidak sesekali atau berkompromi dalam hal Cameron Highlands” tegasnya.
Lagi pun, katanya, MIC tidak ada keperluan untuk melepaskan kerusi itu kepada pihak lain dan idea itu tidak pernah terlintas dalam agenda MIC.
“Saya beberapa bulan kebelakangan ini turun padang bertemu penduduk di sini dan mengambil maklum keperluan dan masalah mereka secara serius dan komited,” akuinya.
“Dalam hal ini saya tidak mengambil peduli retorik yang cuba dilakukan terhadap pengundi di pusat peranginan ini,” jelasnya lagi.
Dalam perkara itu, beliau mendesak mana-mana pihak di luar sana berhenti menyebarkan berita berbaur hasut atau fitnah.
Selain kerusi itu menjadi ‘buruan’ Kayveas, ia juga menarik minat Timbalan Ketua Menteri Kedua Pulau Pinang, R. Ramasamy juga akan bertanding di kerusi itu mewakili DAP kali ini. – MalaysiaGazette
Kayveas turun padang bukan beri maruku masa Deepavali