BUKIT BERUNTUNG – Empat orang mangsa cedera parah manakala lebih 25 lagi cedera selepas bas ekspres yang dinaiki terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelum terbalik.
Kemalangan itu berlaku di Kilometer 434.9 Lebuh Raya Utara Selatan, dekat Bukit Beruntung, kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.
Semasa kejadian bas yang membawa kira-kira 55 orang penumpang itu dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Kuantan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 4.52 pagi dan menggerakkan jentera dari Kuala Kubu dan Rawan ke lokasi.
Katanya, bas ekspres itu terbalik dan beberapa penumpang tersepit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai memberitahu, pemandu pertama dan kedua bas berkenaan turut cedera dan punca kemalangan masih disiasat.
Para penumpang yang cedera dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh. – MalaysiaGazette