Home Nasional Pemandu bas bawa penyokong Kedah ditemui mati

Pemandu bas bawa penyokong Kedah ditemui mati

SHAH ALAM – Seorang pemandu bas yang membawa penyokong Kedah untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di sini malam tadi ditemui mati di dalam basnya dipercayai akibat sakit jantung.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, M Batumalai, 51, ditemui tidak sedarkan diri oleh rakannya yang juga pemandu kedua kira-kira jam 7 malam di bahagian tempat duduk pemandu, yang bas itu diparkir berhampiran Stadium Shah Alam.

Beliau berkata, rakan mangsa kemudian memaklumkan kejadian berkenaan kepada anggota polis yang bertugas di luar stadium.

“Pasukan perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang yang melakukan pemeriksaan ke atas Batumalai mengesahkan beliau telah meninggal dunia.

“Hasil bedah siasat yang selesai dilakukan lewat malam tadi mendapati punca kematian mangsa adalah akibat sakit jantung,” katanya ketika dihubungi.

Shafien berkata, pihak polis turut menghubungi keluarga pemandu itu di Pulau Pinang yang kemudian mengesahkan Batumalai memang menghidap sakit jantung.

“Bas berkenaan kemudian diambil alih oleh pemandu kedua untuk membawa penyokong pulang semula ke Kedah selepas perlawanan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Mengenai perlawanan malam tadi, beliau berkata kawalan keselamatan yang ketat dan kerjasama baik penyokong kedua-dua pasukan menjadikan perlawanan itu tidak dicemari dengan kejadian di luar kawalan.

“Polis mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama penyokong kedua-dua pasukan yang mengikut arahan yang diberikan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast