KUALA LUMPUR – Sebanyak RM219.793 juta dibelanjakan daripada dana kerajaan untuk membaikpulih 32 projek rumah swasta yang terbengkalai sejak 2009 sehingga Oktober 2017.
Pemulihan projek perumahan swasta tersebut melibatkan kategori rumah kos rendah dan kos sederhana sahaja, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar di Dewan Rakyat hari ini.
Untuk tempoh sama, sebanyak 253 projek perumahan swasta disahkan terbengkalai di seluruh Malaysia di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) Akta 118 yang meliputi sebanyak 64,290 unit rumah.
Kes projek terbengkalai yang paling banyak dicatatkan adalah di Selangor dengan sebanyak 81 projek yang melibatkan 29,133 unit rumah disusuli dengan Johor sebanyak 44 kes yang melibatkan 8,839 unit rumah dan Negeri Sembilan sebanyak 25 kes melibatkan 4,340 unit rumah.
Sementara itu, Noh juga memberitahu, dana kerajaan yang digunakan untuk memulihkan projek terbengkalai juga paling banyak digunakan di Selangor yang mana sebanyak RM59.9 juta dibelanjakan untuk menyelamatkan sembilan projek terbengkalai. – MalaysiaGazette