KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan menghantar e-mel meminta orang ramai mendedahkan butiran akaun bank bagi membolehkan transaksi bayaran balik lebihan cukai dilakukan LHDN.
Bahagian Komunikasi LHDN berkata e-mel berkenaan cuba meyakinkan orang ramai bahawa mereka mempunyai amaun cukai terlebih bayar yang perlu dipulangkan oleh lembaga itu.
“LHDN tidak pernah menghantar e-mel sedemikian. Ini kerana maklumat akaun bank tersebut akan diperolehi melalui perisytiharan oleh pembayar cukai ketika mereka mengisi Borang Nyata Cukai Pendapatan pada setiap tahun.
“Selain itu, lebihan bayaran balik cukai pendapatan yang berjaya diproses berdasarkan maklumat betul juga akan dikreditkan oleh LHDN ke akaun pembayar cukai melalui pindahan dana elektronik (EFT), Baucar Bayaran Balik Cukai (BBBC), atau Cek Berpalang atau Pemindahan Bertelegraf bagi mereka yang berada di luar negara,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, LHDN telah mengesan sindiket itu menyebarkan e-mel palsu menggunakan nama Ketua Pegawai Eksekutif dan anggota Lembaga LHDN serta memaparkan logo-logo rasmi institusi perbankan.- BERNAMA