Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat penempatan di empat daerah di Pulau Pinang menunjukkan penurunan sedikit pagi ini iaitu 6,080 orang melibatkan 1,572 keluarga berbanding malam tadi seramai 6,243 mangsa daripada 1,588 keluarga.

Jurucakap bilik gerakan banjir polis berkata sehingga awal pagi ini, daerah Seberang Perai Utara (SPU) masih mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi berbanding kawasan lain iaitu 3,955 orang daripada 965 keluarga.

“Jumlah itu masih sama dengan bilangan mangsa malam tadi dan beberapa jalan di kawasan itu masih ditutup antaranya Jalan Lahar Yooi-Sungai Dua, Lahar Yooi-Padang Menora, Jalan Pokok Tampang dan Jalan Padang Tonsun,” katanya di sini, hari ini.

Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) mencatatkan 1,913 mangsa membabitkan 546 keluarga, daerah Seberang Perai Selatan (SPS) 191 orang daripada 53 keluarga dan 21 mangsa daripada lapan keluarga di daerah Timur Laut.

Jurucakap itu berkata banjir di daerah Timur Laut semakin surut dan kemungkinan mangsa yang berada di pusat pemindahan akan balik ke rumah masing-masing hari ini.

“Semua mangsa banjir di empat daerah itu ditempatkan di 41 pusat penempatan dan keadaan banjir di SPU, SPT serta SPS juga semakin surut,” katanya.

Keadaan cuaca ketika ini di bahagian Seberang Perai mendung manakala di bahagian pulau adalah cerah.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 meter dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini telah meragut tujuh nyawa.

Sementara itu di Kedah, jumlah mangsa banjir di Kedah setakat 8 pagi ini menurun kepada 982 orang berbanding 2,337 orang seperti yang direkodkan malam tadi.

Pengarah Pertahanan Awam Negeri Lt Kol (PA) Mohd Zul Khairi Shamsuddin berkata jumlah itu dijangka terus berkurangan berikutan keadaan cuaca yang semakin baik dan lebih ramai mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Setakat 8 pagi ini, kesemua mangsa daripada 271 keluarga ditempatkan di 15 pusat pemindahan di Kuala Muda, Yan, Kulim, Baling, Bandar Baharu dan Pendang.

Di Kuala Muda, sembilan pusat pemindahan masih dibuka iaitu di Dewan Kampung Bukit Belah Batu Dua yang menempatkan sembilan orang, Dewan Taman Bedong Jaya (15) dan surau Taman Malinja (15).

Selain itu, surau Kampung Jawa (10), Dewan Kampung Bujang (86), Dewan Kampung Sungai Pial (174), surau Kampung Jilid 4/5 (61), Dewan Taman Setia Budi (61) dan surau Kampung Lebai Ali dengan sembilan mangsa.

Di Kulim pula dua pusat pemindahan dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Pulas (121) dan surau Teluk Bina seramai 42 mangsa.

Sebuah pusat pemindahan dibuka masing-masing di Yan di surau Kampung Kepala Bukit yang menempatkan 79 mangsa, di Baling di Masjid Kuala Bakong (114), di Pendang di Dewan Seminar seramai 156 orang dan SK Selama di Bandar Baharu dengan 30 mangsa. – MalaysiaGazette