KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kes penipuan melalui panggilan telefon yang mendakwa daripada institusi kewangan atau PDRM didalangi sindiket dari Taiwan dan China yang menggunakan talian antarabangsa dari Hong Kong dan tempatan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datuk Asmawati Ahmad berkata PDRM telah menerima banyak aduan daripada mangsa yang terpedaya dengan panggilan palsu itu yang dikategorikan sebagai ‘Telecommunication Fraud’ atau Macau Scam sejak kebelakangan ini.
“Macau Scam melibatkan empat kategori modus operandi iaitu cabutan bertuah, tipu culik dan minta wang tebusan, ‘spoofing (pegawai polis/agensi kerajaan dan ‘spoofing’ (pegawai bank negara atau bank komersial).
“Spoofing adalah teknik di mana pemanggil (ahli sindiket) akan berkomunikasi menggunakan platform suara melalui protokol Internet (VoIP) bagi membolehkan pemanggil meletakkan sebarang nombor untuk memperdaya mangsa bahawa panggilan itu daripada nombor yang tertera di skrin,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Asmawati berkata bagi cabutan bertuah, mangsa akan menerima panggilan telefon kononnya telah memenangi pertandingan cabutan bertuah bernilai jutaan dolar daripada syarikat Hong Kong dan pemanggil kemudiannya memberikan nombor telefon untuk dihubungi jika mahu menuntut hadiah berkenaan.- BERNAMA
orang tamak mudah terkena