Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bercakap pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di Pusat Penempatan Banjir Sek. Men. Agama Rakyat Ar Ridwan, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. foto SAFWAN MANSOR, 07 NOVEMBER 2017

TASEK GELUGOR – Bagi mengelak kejadian banjir besar berulang di negeri ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan sebanyak 13 projek tebatan banjir dikenalpasti akan dilaksanakan di negeri ini.

Menurut Najib, ia akan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

“Dari segi jangka panjang pula saya dah diberi taklimat JPS, di mana 13 buah projek besar mahupun kecil telah dikenalpasti dan jumlah dana diperlukan RM1 bilion.

“Setakat ini Kerajaan Pusat sudah luluskan RM150 juta dan sanggup timbang peruntukan tambahan mengikut kemampuan kewangan kita,” katanya dalam sidang media di Sekolah Menengah Agama Ar-Ridwan Tasek Gelugor.

Najib turut meluangkan masa selama 30 minit bagi meninjau serta menziarahi 200 mangsa banjir di pusat pemindahan itu.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Dalam pada itu, satu mesyuarat antara kedua-dua kerajaan negeri diarah diadakan untuk menentukan pelaksanana projek tebatan banjir ini akan digerakkan.

“Kita akan bincang antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri kerana yang kita utamakan ialah kebajikan rakyat dan keselamatan rakyat, ini mesti diutamakan.

“Ini sikap yang dipamerkan Kerajaan Pusat. Contohnya bila Kelantan dilanda banjir kita pun bantu, maka Pulau Pinang pun kita bantu,” katanya.

Najib hari ini mengadakan siri lawatan sehari ke Pulau Pinang ekoran banjir besar yang melanda negeri ini tiga hari lalu.

Untuk rekod, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat penempatan di empat daerah di Pulau Pinang menurun kepada 6,080 orang melibatkan 1,572 keluarga berbanding malam tadi seramai 6,243 mangsa daripada 1,588 keluarga. -MalaysiaGazette.