KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan di perairan Sekinchan, Selangor kerana melanggar zon penangkapan ikan awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Daerah 4 Selangor, Kapten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata, turut ditahan empat lelaki warga Myanmar iaitu tiga awak-awak termasuk seorang tekong berumur lingkungan 22 hingga 33 tahun.

Katanya, mereka telah melakukan kesalahan kerana menangkap ikan di kedudukan 5.2 batu nautika daratan perairan Sekinchan.

“Bot tersebut juga melanggar syarat-syarat
Pekelililing Pengezonan Zon B yang dikeluarkan Jabatan Perikanan Malaysia kerana menggaji kru warga asing sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua hasil tangkapan ikan seberat 50 kilogram turut dirampas dan dibawa ke jeti DM4 Selangor bagi siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

Dalam pada itu, Abu Zaki berkata, sejak awal tahun lalu sehingga November ini, pihaknya telah merekodkan 16 kes tangkapan pelanggaran syarat lesen.

Ujarnya, kesalahan pelanggaran zon penangkapan ikan itu dilihat kecil namun, ia boleh menjejaskan hasil pendapatan nelayan pesisir pantai. – MalaysiaGazette