KOTA TINGGI – Dua buah bot nelayan Vietnam yang disyaki menjalankan kegiatan menangkap ikan secara haram di perairan negara ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada tengahari semalam.
Pengarah Maritim Tanjung Sedili, Kapten Amran Daud berkata, bot tersebut ditahan semasa pihaknya menjalankan rondaan pada jarak 22 batu nautika tenggara Tanjung Sedili antara pukul 12.05 dan 12.28 tengahari.
“Ketika melakukan rondaan, kita mengesan dua buah bot nelayan asing dalam keadaan yang mencurigakan sedang menjalankan kegiatan menangkap ikan secara haram di perairan negara.
“Bot tersebut didapati membawa muatan lebih kurang empat tan ikan campur pelbagai jenis dan dua tan ikan baja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan menangkap ikan, kapal serta hasil tangkapan dianggarkan bernilai RM450,000.
Beliau berkata, bot nelayan asing Vietnam dengan nama pendaftaran Azam Baru 1 dan Azam Baru 2 itu membawa 23 orang kru termasuk tekong dan awak-awak berusia antara 19 hingga 55 tahun.
“Hasil siasatan lanjut, pihak kami mendapati bot tersebut tidak memiliki lesen menangkap ikan serta beberapa awak-awak tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya.
Amran berkata, kes itu disiasat di bawah seksyen 15 (1) dan seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985, jika disabitkan kesalahan, awak-awak boleh dikenakan denda RM100,000 setiap seorang manakala tekong atau nakhoda dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Menurutnya, ia merupakan tangkapan kesembilan yang berjaya dilakukan oleh Daerah Maritim 7 bagi kes nelayan asing pada tahun ini. – MalaysiaGazette