Seorang warga emas melintasi timbunan sampah dan barangan yang rosak akibat ditenggelami banjir beberapa hari lalu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lorong P.Ramlee, Pulau Pinang . foto SAFWAN MANSOR, 08 NOVEMBER 2017

GEORGE TOWN – Jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara semakin menurun kepada 2,409 orang membabitkan 584 keluarga malam tadi, berbanding seramai 2,670 orang membabitkan 688 keluarga petang tadi.

Jurucakap bilik gerakan banjir berkata sebanyak 24 pusat pemindahan masih dibuka di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU) sehingga 8.00 malam.

Sejumlah 1,962 mangsa banjir daripada 445 keluarga ditempatkan di 18 pusat pemindahan di daerah SPU manakala di SPT sejumlah 447 orang membabitkan 129 keluarga yang masih berlindung di 6 pusat pemindahan, katanya malam ini.

Keadaan cuaca di 2 daerah itu baik dan banjir juga semakin surut.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan 1 meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri itu meragut 7 nyawa. – MalaysiaGazette