KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur telah tersenarai antara 10 destinasi bandar raya pelancongan paling popular di dunia pada tahun lepas, menurut Euromonitor International.

Mengikut senarai terbaru 100 destinasi bandar raya pelancongan terbaik dunia yang dikeluarkannya, Kuala Lumpur menduduki tangga ke-10 dengan menarik 12.29 juta pelancong antarabangsa tahun lepas.

Jumlah itu dijangka meningkat kepada 12.8 juta pada tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 4.5 peratus.

Jumlah kedatangan pelancong tahun lepas itu sekaligus mengatasi bandar raya dunia lain seperti Rom, Tokyo, Istanbul, Seoul, Miami, Barcelona dan Shanghai.

Menurut laporan itu, bandar raya Asia mendominasi kedudukan global dengan sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan bilangan pelancong China ke rantau itu.

Enam daripada 10 destinasi bandar raya terbaik itu terletak di Asia, dengan Hong Kong menduduki tangga pertama buat sembilan tahun berturut-turut dengan 26.6 juta pelawat pada tahun 2016 diikuti oleh Bangkok, Singapura, Macau, Shenzhen dan Kuala Lumpur.

Selain Kuala Lumpur, Johor Bahru menduduki tangga ke-42 dan Pulau Pinang di tangga ke-63.

10 DESTINASI BANDAR RAYA PELANCONGAN TERBAIK DUNIA 2016:

Hong Kong – 26.6 juta pelancong
Bangkok – 21.2 juta
London – 19.2 juta
Singapura – 16.6 juta
Macau – 15.4 juta
Dubai – 14.9 juta
Paris – 14.4 juta
New York – 12.7 juta
Shenzhen – 12.6 juta
Kuala Lumpur – 12.29 juta.– MalaysiaGazette