Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Datuk Wira Azman Mokhtar berswafoto bersama para peserta yang hadir pada Sesi Dialog TN50x : Bakat Muda Rangkaian Khazanah Ke Arah Pembangunan Malaysia yang Holistik Membina Nilai Sejati di Mercu UEM, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 09 NOVEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan program Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan memberi fokus kepada enam tema utama antaranya adil, global, penyatuan, kestabilan dan kebertanggungjawaban.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, laporan penuh Aspirasi Belia TN50 akan siap Disember ini sebelum dibentangkan pada awal tahun hadapan, kerajaan sedang menimbangkan semua cadangan yang telah diterima daripada pelbagai pihak.

Bagaimanapun, enam tema tersebut antara intipati penting di dalam pelaksanaan program tersebut.

“Saya tidak mahu mendahului laporan, tetapi itu adalah lima atau enam tema yang banyak kita dengar daripada keseluruhan 80,000 aspirasi yang sudah dinyatakan setakat ini.

“Kita juga sudah melihat semula kepada beberapa aspirasi dan kumpulkan cadangan aspirasi dalam kluster tertentu.

Itu antara tiga tema yang berulang dan menjadi asas kepada aspirasi keseluruhan belia Malaysia secara keseluruhannya menjelang 2050,” katanya pada sidang media di sini selepas menjayakan Sesi Dialog TN50 anjuran Khazanah Nasional Berhad bertajuk Bakat Muda Rangkaian Khazanah, Ke Arah Pembangunan Malaysia Yang Holistik; Membina Nilai Sejati, di sini hari ini.

Yang turut sama hadir, Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar. Dialog itu turut dihadiri kira-kira 700 peserta majoritinya adalah golongan muda.

Dalam pada itu, dalam sumbangannya kepada TN50, Khazanah menurut Azman akan menumpukan kepada tiga komitmen mereka antaranya menerusi Institut Kajian Khazanah (KRI) yang akan bekerjasama dengan sekretariat TN50 dalam melakukan kajian berkenaan gejala sosial.

“Komitmen kedua Khazanah pula adalah dengan menambah ‘touch point’ maklumat dan hebahan TN50 sama ada di lebuh raya dan kawasan strategik menerusi platform kami sendiri seperti AXIATA.

“Ketiga, komitmen berkenaan program berimpak tinggi yang kita difahamkan ketika ini berada dalam peringkat pelaksanaan (oleh kerajaan). Kami sedia menjalankan tugas kami, antaranya diatas Taman Tugu, akan dibangunkan Institusi Khazanah ILMU,”katanya.

ILMU adalah akronim  lnnovation (inovasi); L(pembelajaran); Mentoring (mentor) dan Unity (perpaduan). -MalaysiaGazette