GEORGE TOWN, 8 Nov -- Badan bukan kerajaan (NGO) menyampaikan bantuan bantal dan selimut kepada mangsa banjir di Jalan Shaik Madar, Ayer Itam hari ini setelah banjir melanda taman berkenaan pada Ahad lepas. Akibat daripada bencana tersebut penduduk sekitar Pulau Pinang menanggung kerugian berikutan kerosakan harta benda mereka. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELHARA
GEORGE TOWN – Sejumlah 3,213 mangsa banjir daripada 802 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan di dua daerah di Pulau Pinang hingga pagi ini. Jurucakap bilik gerakan banjir berkata jumlah itu semakin berkurangan berbanding 3,736 mangsa banjir daripada 936 keluarga pada malam tadi.

“Kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di 26 pusat pemindahan melibatkan 18 di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) pula di lapan pusat pemindahan sementara,” katanya di sini hari ini.

Katanya di SPU seramai 2,528 mangsa daripada 589 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan manakala di SPT sejumlah 685 mangsa membabitkan 213 keluarga.

Hingga pagi ini beberapa kawasan masih dinaiki air antaranya Lahar Yooi, Padang Menora, Nyior Sebatang dan Air Melintas Besar berikutan hujan semalam.

Keadaan cuaca di Pulau Pinang pagi ini cerah.

Ketika ini, ratusan sukarelawan berada di Pulau Pinang untuk membantu membersihkan rumah penduduk yang dilanda banjir kilat bagi membolehkan mereka kembali ke kediaman masing-masing.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Hingga kini, kejadian banjir yang didikatakan terburuk di negeri ini itu telah meragut tujuh nyawa.- BERNAMA